Sunday, March 20, 2011

Hadiah Gembira Dari Perdana Menteri Untuk Rakyat Sarawak - Peruntukan Lebih RM250 Juta -



PM umum peruntukan lebih RM250 juta untuk Serian, Tebedu




SERIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM252.85 juta untuk pelbagai projek rakyat di kawasan Serian dan Tebedu.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi bekalan air bersih luar bandar untuk 2,910 rumah di Tebedu membabitkan peruntukan sebanyak RM105 juta dan untuk 4,409 rumah di Serian sebanyak RM116.5 juta.
Sementara RM13.39 juta pula untuk projek bekalan elektrik di Serian yang membabitkan 408 rumah, selain peruntukan RM12.5 juta untuk projek klinik kesihatan di Pedawan dan RM120,000 untuk pembelian pendingin hawa untuk Dewan Masyarakat Serian.
Najib mengumumkan demikian ketika berucap melancarkan program "Sejiwa Senada" untuk Bahagian Kota Samarahan di sini.

Program peringkat negeri itu diadakan sejak tahun lalu dan telah menjelajah ke sembilan bahagian di Sarawak bagi tujuan merapatkan hubungan antara rakyat dan penjawat awam melalui promosi perkhidmatan yang dapat membantu rakyat mempercepatkan proses urusan rasmi.

Lawatan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama beberapa menteri Kabinet Persekutuan ke Serian adalah program turun padang oleh pemimpin negara ke semua negeri bagi mendekati rakyat, dan ia dijangka berakhir September ini.

Najib yang berpakaian tradisi kaum Bidayuh semasa berucap turut menuturkan beberapa perkataan dalam bahasa Bidayuh iaitu "aku ira nyugon ahi terima kasih" yang bermakna "saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua" dan disambut tepukan gemuruh hadirin.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan RM90 juta untuk projek jalan raya di kawasan Serian.

Turut hadir pada majlis itu ialah Muhyiddin; dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Tan Sri Dr George Chan dan Tan Sri Alfred Jabu; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu bagi Program Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Turun Padang ke semua negeri

DUN Sarawak Dibubarkan - Barisan Nasional Sukar Digugat Dalam Pilihanraya Negeri 2011



DUN Sarawak dibubar Isnin


KUCHING, 19 Mac -- Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud mengesahkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan Isnin ini.

Taib berkata notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, katanya.

Pengumuman Taib (gambar) itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri. Dewan Undangan Negeri Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, telah menghadiri pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini.

Taib, yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran negeri ini pada 26 Mac ini, turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak dapat dilaksanakan.