Wednesday, March 23, 2011

Pembangkang di Sarawak kian terdesak


PARTI pembangkang di Sarawak semakin terdesak dalam usaha mereka untuk mengejar 'mimpi disiang hari' bersama rakan-rakan yang ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’.

Bukan saja usaha parti pembangkang untuk menjalin kerjasama hampir mustahil menjadi kenyataan tidak menjadi akibat tiada persefahaman dan tolak ansur sesama mereka, malah perkembangan terkini menyaksikan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) bagaikan melakukan provokasi terhadap rakan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semalam, Presiden SNAP, Edwin Dundang, yang mengumumkan 11 lagi calonnya, menjadikan jumlah calon SNAP yang sudah diumum setakat ini berjumlah 27 orang, hanya membenarkan PKR bertanding di kerusi majoriti Dayak dengan syarat menggunakan lambang SNAP.
Lebih mengejutkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang akan bertanding di kerusi DUN Ba'kelalan turut diminta oleh SNAP bertanding atas tiket parti itu kerana kawasan berkenaan juga majoriti pengundinya Dayak.

Ini adalah satu tamparan hebat kepada PKR terutama kepada presidennya kerana ia sama sekali tidak masuk akal, aneh dan provokasi buat PKR yang ingin menjadi ‘ketua’ di kalangan pembangkang di Sarawak.

“Di mana maruah PKR jika Pengerusi PKR pun terpaksa bertanding atas tiket SNAP. Saya melihat ia sebagai satu provokasi dan SNAP kini ibarat duri dalam daging dalam pakatan pembangkang. Saya yakin PKR tidak akan menerima syarat aneh SNAP ini,” kata penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir.

Lebih daripada itu, SNAP - parti berusia 50 tahun di Sarawak, turut menuntut supaya PKR mengiktiraf SNAP sebagai parti tempatan paling dominan dan mahu mengetuai kerajaan jika mereka menang. Ini kerana sebelum ini PKR telah mengisytiharkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, bakal menjadi Ketua Menteri jika pembangkang berjaya merampas kerajaan negeri pada pilihan raya negeri kali ini.
Belum pun apa-apa, kedua-dua parti pembangkang itu sudah berebut jawatan Ketua Menteri. Ini kerana semalam, Edwin berkata, SNAP lebih dominan berbanding PKR dan lebih layak menerajui kerajaan negeri.

Ahad lalu, SNAP yang dikatakan masih mempunyai pengaruh terutama di kawasan luar bandar ‘berpatah arang, berkerat rotan’ dengan PKR yang dianggap terlalu bongkak dan tamak apabila mahu membolot 52 kerusi dalam perundingan pengagihan kerusi sesama pembangkang sehingga mengumumkan tidak akan lagi berunding dengan PKR dalam soal pengagihan kerusi.

Pada sidang media semalam, Edwin berkata, berdasarkan pertemuan dan perbincangan pihaknya dengan pemimpin tertinggi PKR kelmarin, SNAP berharap dapat mengetuai kerajaan Sarawak seperti PKR di Selangor, DAP di Pulau Pinang dan PAS di Kelantan.

“Adalah jelas kami masih bersama pakatan pembangkang serta tiada isu bagi kami meninggalkan pembangkang, namun apa yang diharapkan adalah PKR mengiktiraf kami sebagai parti pembangkang yang dominan berdasarkan pengalaman kami.

“Sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas ini apa yang akan terjadi? Disebabkan itu kita mahu majoriti kerusi diberikan kepada SNAP serta mahu mengetuai kerajaan,” katanya.

Bagi Dr Jeniri, tidak mungkin akan wujud kerjasama dan persefahaman tulen antara pembangkang, apa lagi SNAP bertegas untuk mengemukakan ramai calon dengan menamakan 27 nama setakat ini, ketika pembangkang belum memuktamadkan lagi rundingan pengagihan kerusi.

“Saya tidak fikir pakatan pembangkang bersedia bertolak ansur dan berkompromi dengan tuntutan SNAP ini, apa lagi SNAP meminta supaya ia diisytiharkan sebagai parti dominan. Ini akan memberi implikasi besar jika pembangkang menang dengan berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri.

“Malah, saya sudah meneliti senarai calon yang diumumkan SNAP setakat ini, dengan kebanyakan calon adalah muka yang sudah lesu dan tidak meyakinkan pengundi.

“Perkembangan terbaru ini akan memberi kesan negatif kepada hasrat dan impian pembangkang untuk memberi impak besar pada pilihan raya kelak,” katanya.

Tuesday, March 22, 2011

Pilihan raya negeri Sarawak 16 April

KUCHING, 23 Mac — Pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 akan diadakan pada 16 April, demikian ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Penamaan calon akan berlangsung pada 6 April

Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menawarkan sebanyak 71 kerusi dibubarkan kelmarin. Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah pada 20 Mei 2006.

Writ pilihan raya dikeluarkan hari ini manakala notis pilihan raya pula Jumaat ini.

Tarikh-tarikh pilihan raya diumumkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof susulan mesyuarat khas di sini hari ini.

Untuk pilihan raya Sarawak kali ini seramai 24,379 petugas SPR akan ditugaskan membabitkan 1,749 pusat mengundi dan 2,561 saluran pengundian, kata beliau.

Setakat suku keempat 2010, seramai 979,796 pengundi telah berdaftar dengan SPR dan layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri kali ini.

Daripada jumlah itu, 961, 433 adalah pengundi biasa manakala 18,363 pengundi pos.

Berdasarkan kedudukan semasa, Barisan Nasional (BN) Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala pembangkang — DAP menguasai enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.






Monday, March 21, 2011

Kakitangan di seluruh Sarawak turut nikmati pelarasan gaji

Elaun ahli PBT naik



KUCHING: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak menerima suntikan semangat baru apabila kerajaan negeri mengumumkan kenaikan elaun mesyuarat Ahli Majlis serta penyelarasan gaji kakitangan PBT seluruh negeri ini.

Turut diumumkan peruntukkan RM55 juta iaitu RM25 juta untuk melaksanakan penstrukturan semula semua PBT dan RM30 juta untuk meningkatkan perkhidmatan.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika mengumumkannya bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kenaikan elaun walaupun mengakui kadar elaun sekarang iaitu RM50 sehari perlu ditambah
Namun, beliau berkata kenaikan elaun perlu dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab besar yang mereka pikul untuk membantu melicinkan pentadbiran PBT.

"Sudah sampai masanya PBT dinaik taraf dan dibuat penstrukturan semula bagi mewujudkan sebuah pasukan eksekutif untuk memastikan sistem penyampaian yang lebih berkesan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

"Selaras dengan itu, kita akan menaikkan elaun dan penyelarasan gaji semua kakitangan PBT di negeri ini," katanya pada perasmian Seminar Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Sarawak, di Hotel Pullman, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Datuk Seri Wong Soon Koh; Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Pembangunan Tanah, Datuk Seri Dr James Jemut Masing.
Lebih 500 ahli majlis dari 23 PBT seluruh negeri menghadiri seminar sehari dengan tema Ahli Majlis Pemacu Tranformasi PBT.

Selain itu, Abdul Taib menggesa semua PBT berusaha mencapai taraf sekurang-kurangnya tiga bintang dalam tempoh dua tahun lagi dan memastikan perkhidmatan mereka tidak hanya ditumpukan kepada pembangunan, malah memberi perhatian kepada aktiviti sosial.

"Menjelang 2013, saya berharap tidak ada lagi PBT bertaraf satu bintang dan percaya peningkatan taraf dapat dilaksanakan dengan mudah di kawasan bandar tetapi menjadi cabaran bagi PBT di luar bandar.

"Bagaimanapun, saya percaya dengan penstrukturan semula yang dilaksanakan, sasaran kita untuk menaik taraf semua PBT akan tercapai," katanya.

Kit Siang Patut Tengok, Beli Cermin Untuk Nik Aziz


KUALA LUMPUR 21 Mac – Penasihat DAP, Lim Kit Siang disaran cermin diri terlebih dahulu sebelum membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kononnya menerajui negeri itu sekian lama.

Bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Zahid Mat Arip berkata Lim Kit Siang juga boleh memberikan cermin yang sama kepada rakan baiknya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah menerajui Kelantan hampir nyanyuk.

Menurut beliau kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud di Bumi Kenyalang telah memberi satu impak yang cukup besar kepada rakyat negeri berkenaan dengan semua lapisan masyarakat menerima tempias hasil kebijaksanaan beliau mentadbir negeri.

“Saya nak tanya Kit Siang…..Apa jasa beliau setelah terlibat dalam arena politik sejak sekian lama. Apa yang beliau telah lakukan untuk rakyat Malaysia melainkan ceramah, demonstrasi dan laungan perjuangan retorik semata-mata.

“Apakah beliau sudah lupa untuk menilai atau pun menasihati rakan baiknya di Kelantan yang sehingga kini masih belum mahu melepaskan jawatan di kerusi empuk Menteri Besar….jangan hanya nampak semut di seberang laut tetapi gajah di depan mata pula tidak nampak.

“Nampak sangat double standard…Beliau sendiri sudah berapa lama memegang jawatan dalam DAP dan sebagai Ahli Parlimen. Mungkin prinsip beliau untuk aku semua boleh,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelbagai tuduhan dan dakwaan dibuat oleh pemimpin pembangkang terbabit terhadap Ketua Menteri Sarwak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kononnya telah lama memegang kuasa di negeri tersebut.

Zahid seterusnya menambah, Kit Siang tidak perlu mengajar kepimpinan BN soal peralihan kuasa kerana parti itu cukup bijak dan arif bila dan waktu yang sesuai untuk melaksanakan proses peralihan berkenaan.

“Apa yang Kit Siang sibuk sangat ni…Nik Aziz yang semakin nyanyuk tu beliau tidak pandai pula mahu nasihatkan agar memberikan kepada mereka yang layak. Takkan kepimpinan Pas Kelantan tidak ada seorang pun yang layak.

“Begitu juga dalam DAP….Takkan tidak ada kalangan kepimpinan mereka yang boleh menggantikan Kit Siang. Paku dulang paku serpih, kata orang, dia yang lebih rupanya,” katanya. '-MediaUMNO

Sunday, March 20, 2011

Memang Perangai PKR Suka ‘Tikam Belakang’



BATANG LUPAR 17 Mac – Sengketa antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dalam isu pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak membuktikan bahawa perjuangan parti pembangkang bukannya berlandaskan kepentingan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd, Shafie Apdal secara sinis berkata, pakatan yang kononnya berjaya dibentuk oleh pembangkang untuk memperjuangkan kepentingan rakyat hanyalah satu ‘pakatan tikam belakang’.

Katanya, PKR sendiri telah mengesahkan perkara itu apabila bukan sahaja ‘menikam belakang’ rakan sekutu mereka bahkan turut melakukan perkara yang sama terhadap pemimpin sendiri.

“Itu sebab ramai yang sudah keluar, N. Gobalakrishnan (Ahli Parlimen Padang Serai) dan ahli-ahli parlimen yang lain juga telah keluar.

“Lihatlah, sebelum pilihan raya sudah bergaduh antara komponen, kononnya berlandaskan pakatan rakyat, ini bukan pakatan rakyat tetapi pakatan tikam belakang, di depan lain dan di belakang mereka melakukan yang sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Agropolitan Batang Lupar yang dibangunkan oleh Felcra Berhad di sini hari ini.

Projek Agropolitan Batang Lupar merangkumi pembinaan 126 buah rumah untuk penduduk miskin tegar dari Pulau Seduku dan kawasan persekitaran serta pembukaan ladang sawit seluas 1,600 hektar.

Selasa lalu, Presiden Snap, Edwin Dundang berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan meninggalkan pakatan pembangkang di negeri ini selain mengumumkan bertanding di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak secara bersendirian.

Beliau menyifatkan PKR sebagai bongkak apabila mahu bertanding di 52 kerusi DUN dan hanya memberikan tiga kerusi sahaja kepada Snap yang hampir 50 tahun bertapak di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shafie berkata, apa yang berlaku antara PKR dan Snap bukannya mengejutkan sambil mengingatkan rakyat negeri ini bahawa kerjasama antara parti pembangkang tidak akan berkekalan.

Beliau berkata, rakyat juga tidak sepatutnya tertipu dengan janji pembangkang untuk menyelesaikan isu tanah hak adat bumiputera (NCR) yang akan ditimbulkan setiap kali pilihan raya berlangsung di negeri ini.

“Sedangkan di Kelantan masalah tanah lebih jelas, geran tanah orang Asli tidak diberikan,

“Di sini (Agropolitan Batang Lupar), kita bukan sahaja beri tanah bahkan turut membina rumah untuk orang-orang kampung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membidas Snap yang mendakwa mereka mempunyai kemampuan untuk memperjuangkan masyarakat di luar bandar sedangkan sewaktu berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, mereka tidak melakukan apa-apa.

“Bila datang pilihan raya, mereka janji macam-macam, bukan hanya projek dan tanah bahkan turut menjanjikan syurga,” katanya sinis.


Kredit To UMNO ONLINE

Dr Sim Calon Barisan Nasional Di DUN Pending



Dr Sim penuhi kehendak pengundi Cina DUN Pending


"BANDAR Miri tidak mempunyai pakar kardiologi kanan. Kehadiran saya di sini hanya sebagai doktor yang bertugas ketika lawatan Perdana Menteri. Itu saja".

Itulah jawapan yang diberikan Pakar Kardiologi Kanan Hospital Umum Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian, 46, yang ditemui penulis di Hotel Marriot, Miri, baru-baru ini ketika Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengadakan sesi pemukiman tertutup dengan 62 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sarawak.

Menyedari kehadiran anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Sim Kheng Hong pada permukiman tertutup itu, penulis cuba mendapatkan kepastian sama ada beliau bakal menjadi muka baru BN, namun beliau sekadar mengesahkan kehadirannya hanya sebagai 'cardiologist on stanby'.

Genap sebulan selepas itu, pada 5 Mac lalu, Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akhirnya mengumumkan bahawa Prof Dr Sim adalah muka baru BN untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 akan datang.

Ramai yang bertanya, apakah istimewanya Dr Sim sehingga namanya diumumkan lebih awal berbanding 70 lagi calon BN lain yang akan bertanding pada pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada bulan depan?

Abdul Taib sendiri secara tidak langsung sebenarnya memberikan bayangan mengapa beliau mengumumkan nama pakar kardiologi berkenaan ketika menggulung perbahasan pada Konvensyen BN Sarawak 2011, pada 5 Mac lalu.

"Apa salahnya seorang doktor menjadi ahli politik?." Itulah persoalan yang dibangkitkan Pengerusi BN itu ketika menyebut nama Dr Sim dalam ucapannya.

Baginya, pengundi Cina mahukan calon muka baru yang baik dan berkelayakan, dengan BN bersedia memberikan mereka calon yang benar-benar layak serta mampu mewakili kawasan mereka dengan baik.

Sebelum pengumuman itu dibuat, sudah ada suara yang cuba mempengaruhi rakyat di akar umbi mengenai calon yang bakal diturunkan, dengan menyifatkan lebih baik Dr Sim mengekalkan kerjaya sebagai doktor, daripada menjadi wakil rakyat.

Cakap-cakap mengenai kemungkinan pakar kardiologi itu menjadi calon sudah kedengaran sejak Januari lalu, cuma belum ada yang pengesahan dibuat mengenainya. Hanya selepas Abdul Taib menyebut nama Dr Sim dalam ucapannya, barulah Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, mengesahkannya.

Abdul Taib mahu rakyat khususnya pengundi Cina tahu bahawa BN tidak menurunkan calon kitar semula, sebaliknya akan memberikan mereka barisan calon terbaik pada pilihan raya negeri kali ini, dengan Dr Sim adalah antara contohnya.

Ketika penulis bertanya kepada Dr Sim sendiri sama ada lebih baik beliau menjadi pakar kardiologi daripada menjadi seorang ahli politik, untuk menolong rakyat, Dr Sim berkata;

"Satu ketika dulu jika saya memilih untuk terus bekerja di Australia, senang-senang saya boleh dapat RM2 juta setahun tetapi saya memilih untuk pulang ke Malaysia kerana mahu berkhidmat kepada rakyat di negeri sendiri dan memilih untuk menjadi doktor di sektor awam.

"Seperti juga mendiang bapa saya, saya juga mahu berkhidmat kepada rakyat dan dengan menceburi politik, saya yakin saya boleh memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat," kata pakar kardiologi terkemuka itu.

Pengumuman nama Dr Sim lebih awal berbanding calon lain ini juga kali pertama berlaku dalam sejarah pilihan raya negeri Sarawak. Mungkinkah ini perubahan strategi BN Sarawak untuk memperkenalkan calonnya lebih awal terutama di kawasan yang kini disandang pembangkang seperti kerusi DUN Pending?

Pencalonan Dr Sim dijangka mampu membolehkan BN merampas balik kerusi DUN Pending yang mempunyai hampir 30,000 pengundi itu, dengan 90 peratus adalah pengundi Cina.

Ketika ini kerusi DUN Pending disandang Violet Yong Wui Wui dari DAP yang menang dengan majoriti 4,372 undi pada 2006, mengalahkan calon BN, Datuk Sim Kheng Hui, yang pernah memenangi kerusi sama dengan majoriti 7,981 pada 2001.

SUPP menaruh harapan besar untuk merampas semula kerusi berkenaan yang pernah menjadi kubu kuat BN sehinggalah kekalahan mengejut pada 2006 yang lalu.

Selain Pending, SUPP tewas di DUN Batu Lintang; Kota Sentosa; Engkilili; Meradong; Bukit Assek dan Kidurong pada 2006, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichol Rayong, sudah menyertai SUPP tahun lalu.

Tumpuan kepada kawasan DUN Pending sebagai mampu untuk dirampas balik oleh BN juga bakal menyaksikan Najib melawat kawasan itu pada 19 Mac ini, selepas menghadiri Program Sejiwa Senada di Serian pada sebelah pagi dan turun padang di DUN Semera selepas itu, dalam siri penjelajahan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke seluruh negara, dengan Sarawak bakal menjadi destinasi pertama.

Hadiah Gembira Dari Perdana Menteri Untuk Rakyat Sarawak - Peruntukan Lebih RM250 Juta -



PM umum peruntukan lebih RM250 juta untuk Serian, Tebedu




SERIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM252.85 juta untuk pelbagai projek rakyat di kawasan Serian dan Tebedu.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi bekalan air bersih luar bandar untuk 2,910 rumah di Tebedu membabitkan peruntukan sebanyak RM105 juta dan untuk 4,409 rumah di Serian sebanyak RM116.5 juta.
Sementara RM13.39 juta pula untuk projek bekalan elektrik di Serian yang membabitkan 408 rumah, selain peruntukan RM12.5 juta untuk projek klinik kesihatan di Pedawan dan RM120,000 untuk pembelian pendingin hawa untuk Dewan Masyarakat Serian.
Najib mengumumkan demikian ketika berucap melancarkan program "Sejiwa Senada" untuk Bahagian Kota Samarahan di sini.

Program peringkat negeri itu diadakan sejak tahun lalu dan telah menjelajah ke sembilan bahagian di Sarawak bagi tujuan merapatkan hubungan antara rakyat dan penjawat awam melalui promosi perkhidmatan yang dapat membantu rakyat mempercepatkan proses urusan rasmi.

Lawatan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama beberapa menteri Kabinet Persekutuan ke Serian adalah program turun padang oleh pemimpin negara ke semua negeri bagi mendekati rakyat, dan ia dijangka berakhir September ini.

Najib yang berpakaian tradisi kaum Bidayuh semasa berucap turut menuturkan beberapa perkataan dalam bahasa Bidayuh iaitu "aku ira nyugon ahi terima kasih" yang bermakna "saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua" dan disambut tepukan gemuruh hadirin.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan RM90 juta untuk projek jalan raya di kawasan Serian.

Turut hadir pada majlis itu ialah Muhyiddin; dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Tan Sri Dr George Chan dan Tan Sri Alfred Jabu; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu bagi Program Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Turun Padang ke semua negeri

DUN Sarawak Dibubarkan - Barisan Nasional Sukar Digugat Dalam Pilihanraya Negeri 2011



DUN Sarawak dibubar Isnin


KUCHING, 19 Mac -- Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud mengesahkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan Isnin ini.

Taib berkata notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, katanya.

Pengumuman Taib (gambar) itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri. Dewan Undangan Negeri Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, telah menghadiri pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini.

Taib, yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran negeri ini pada 26 Mac ini, turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak dapat dilaksanakan.