Monday, March 21, 2011

Kakitangan di seluruh Sarawak turut nikmati pelarasan gaji

Elaun ahli PBT naik



KUCHING: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak menerima suntikan semangat baru apabila kerajaan negeri mengumumkan kenaikan elaun mesyuarat Ahli Majlis serta penyelarasan gaji kakitangan PBT seluruh negeri ini.

Turut diumumkan peruntukkan RM55 juta iaitu RM25 juta untuk melaksanakan penstrukturan semula semua PBT dan RM30 juta untuk meningkatkan perkhidmatan.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika mengumumkannya bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kenaikan elaun walaupun mengakui kadar elaun sekarang iaitu RM50 sehari perlu ditambah
Namun, beliau berkata kenaikan elaun perlu dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab besar yang mereka pikul untuk membantu melicinkan pentadbiran PBT.

"Sudah sampai masanya PBT dinaik taraf dan dibuat penstrukturan semula bagi mewujudkan sebuah pasukan eksekutif untuk memastikan sistem penyampaian yang lebih berkesan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

"Selaras dengan itu, kita akan menaikkan elaun dan penyelarasan gaji semua kakitangan PBT di negeri ini," katanya pada perasmian Seminar Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Sarawak, di Hotel Pullman, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Datuk Seri Wong Soon Koh; Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Pembangunan Tanah, Datuk Seri Dr James Jemut Masing.
Lebih 500 ahli majlis dari 23 PBT seluruh negeri menghadiri seminar sehari dengan tema Ahli Majlis Pemacu Tranformasi PBT.

Selain itu, Abdul Taib menggesa semua PBT berusaha mencapai taraf sekurang-kurangnya tiga bintang dalam tempoh dua tahun lagi dan memastikan perkhidmatan mereka tidak hanya ditumpukan kepada pembangunan, malah memberi perhatian kepada aktiviti sosial.

"Menjelang 2013, saya berharap tidak ada lagi PBT bertaraf satu bintang dan percaya peningkatan taraf dapat dilaksanakan dengan mudah di kawasan bandar tetapi menjadi cabaran bagi PBT di luar bandar.

"Bagaimanapun, saya percaya dengan penstrukturan semula yang dilaksanakan, sasaran kita untuk menaik taraf semua PBT akan tercapai," katanya.

1 comment:

  1. Salam bos, boleh link blog saya di blog tuan,

    http://patinggan.blogspot.com/

    ReplyDelete