Sunday, March 20, 2011

Dr Sim Calon Barisan Nasional Di DUN Pending



Dr Sim penuhi kehendak pengundi Cina DUN Pending


"BANDAR Miri tidak mempunyai pakar kardiologi kanan. Kehadiran saya di sini hanya sebagai doktor yang bertugas ketika lawatan Perdana Menteri. Itu saja".

Itulah jawapan yang diberikan Pakar Kardiologi Kanan Hospital Umum Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian, 46, yang ditemui penulis di Hotel Marriot, Miri, baru-baru ini ketika Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengadakan sesi pemukiman tertutup dengan 62 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sarawak.

Menyedari kehadiran anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Sim Kheng Hong pada permukiman tertutup itu, penulis cuba mendapatkan kepastian sama ada beliau bakal menjadi muka baru BN, namun beliau sekadar mengesahkan kehadirannya hanya sebagai 'cardiologist on stanby'.

Genap sebulan selepas itu, pada 5 Mac lalu, Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akhirnya mengumumkan bahawa Prof Dr Sim adalah muka baru BN untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 akan datang.

Ramai yang bertanya, apakah istimewanya Dr Sim sehingga namanya diumumkan lebih awal berbanding 70 lagi calon BN lain yang akan bertanding pada pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada bulan depan?

Abdul Taib sendiri secara tidak langsung sebenarnya memberikan bayangan mengapa beliau mengumumkan nama pakar kardiologi berkenaan ketika menggulung perbahasan pada Konvensyen BN Sarawak 2011, pada 5 Mac lalu.

"Apa salahnya seorang doktor menjadi ahli politik?." Itulah persoalan yang dibangkitkan Pengerusi BN itu ketika menyebut nama Dr Sim dalam ucapannya.

Baginya, pengundi Cina mahukan calon muka baru yang baik dan berkelayakan, dengan BN bersedia memberikan mereka calon yang benar-benar layak serta mampu mewakili kawasan mereka dengan baik.

Sebelum pengumuman itu dibuat, sudah ada suara yang cuba mempengaruhi rakyat di akar umbi mengenai calon yang bakal diturunkan, dengan menyifatkan lebih baik Dr Sim mengekalkan kerjaya sebagai doktor, daripada menjadi wakil rakyat.

Cakap-cakap mengenai kemungkinan pakar kardiologi itu menjadi calon sudah kedengaran sejak Januari lalu, cuma belum ada yang pengesahan dibuat mengenainya. Hanya selepas Abdul Taib menyebut nama Dr Sim dalam ucapannya, barulah Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, mengesahkannya.

Abdul Taib mahu rakyat khususnya pengundi Cina tahu bahawa BN tidak menurunkan calon kitar semula, sebaliknya akan memberikan mereka barisan calon terbaik pada pilihan raya negeri kali ini, dengan Dr Sim adalah antara contohnya.

Ketika penulis bertanya kepada Dr Sim sendiri sama ada lebih baik beliau menjadi pakar kardiologi daripada menjadi seorang ahli politik, untuk menolong rakyat, Dr Sim berkata;

"Satu ketika dulu jika saya memilih untuk terus bekerja di Australia, senang-senang saya boleh dapat RM2 juta setahun tetapi saya memilih untuk pulang ke Malaysia kerana mahu berkhidmat kepada rakyat di negeri sendiri dan memilih untuk menjadi doktor di sektor awam.

"Seperti juga mendiang bapa saya, saya juga mahu berkhidmat kepada rakyat dan dengan menceburi politik, saya yakin saya boleh memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat," kata pakar kardiologi terkemuka itu.

Pengumuman nama Dr Sim lebih awal berbanding calon lain ini juga kali pertama berlaku dalam sejarah pilihan raya negeri Sarawak. Mungkinkah ini perubahan strategi BN Sarawak untuk memperkenalkan calonnya lebih awal terutama di kawasan yang kini disandang pembangkang seperti kerusi DUN Pending?

Pencalonan Dr Sim dijangka mampu membolehkan BN merampas balik kerusi DUN Pending yang mempunyai hampir 30,000 pengundi itu, dengan 90 peratus adalah pengundi Cina.

Ketika ini kerusi DUN Pending disandang Violet Yong Wui Wui dari DAP yang menang dengan majoriti 4,372 undi pada 2006, mengalahkan calon BN, Datuk Sim Kheng Hui, yang pernah memenangi kerusi sama dengan majoriti 7,981 pada 2001.

SUPP menaruh harapan besar untuk merampas semula kerusi berkenaan yang pernah menjadi kubu kuat BN sehinggalah kekalahan mengejut pada 2006 yang lalu.

Selain Pending, SUPP tewas di DUN Batu Lintang; Kota Sentosa; Engkilili; Meradong; Bukit Assek dan Kidurong pada 2006, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichol Rayong, sudah menyertai SUPP tahun lalu.

Tumpuan kepada kawasan DUN Pending sebagai mampu untuk dirampas balik oleh BN juga bakal menyaksikan Najib melawat kawasan itu pada 19 Mac ini, selepas menghadiri Program Sejiwa Senada di Serian pada sebelah pagi dan turun padang di DUN Semera selepas itu, dalam siri penjelajahan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke seluruh negara, dengan Sarawak bakal menjadi destinasi pertama.

No comments:

Post a Comment